Thursday, July 8, 2010

..........pesan buat anakku. - 2


anak-anakku....
dalam menjalani kehidupan kalian di dunia ini, mak berharap agar kalian dapat menjadikan sebatang pensel sebagai contoh kerana padanya terdapat lima kualiti dan darinya, kalian akan dapat mempelajari sesuatu yang akan menjadikan kalian insan yang sentiasa redha dan tenang dengan kehidupan ini....

kualiti pertama
kalian akan berkemampuan melakukan perkara-perkara yang hebat, tetapi jangan kalian lupa yang ada suatu tangan yang mengawal pergerakan dan hidup kalian, iaitu tangan Allah (kuasa Allah). DIA sentiasa menunjukkan jalan yang lurus mengikut kehendakNYA.

kualiti kedua
Ada masanya, pensel akan berhenti menulis dan terpaksa diasah. Ini mungkin akan membuatkan pensel itu merasa tersiksa dan sakit, sebelum ia menjadi tajam semula. Maka anak-anakku...belajarlah untuk menghadapi cubaan dan dugaan kerana itulah yang akan membentuk sahsiah dan keperibadian kalian untuk menjadi seorang yang lebih baik.

kualiti ketiga
Pensel selalu membenarkan kita menggunakan pemadam untuk memadam segala kesalahan. Berbuat salah tidak bermakna kita jahat. Membetulkan kesalahan yang telah kita lakukan tidak sepatutnya menjadi satu perkara yang memalukan kerana melaluinya, kita mengaku yang kita telah berlaku silap. Malahan ia membantu kita untuk tetap teguh pada jalan yang berlandaskan kebenaran.

kualiti keempat
Apa yang penting dalam menentukan kualiti pensel bukanlah pada kayu dan hiasan serta warna luarannya tetapi terletak pada grafit yang ada di dalamnya. Maka itu anak-anakku....pastikanlah hati kalian sentiasa ikhlas dalam melakukan apa jua urusan dan pekerjaan. Jauhkanlah hati kalian dari sifat-sifat riak, iri dan hasad dengki.

kualiti kelima
Pensel akan meninggalkan tanda. Maka dengan itu anak-anakku, kalian mestilah sentiasa beringat dan tahu bahawa apa yang kalian lakukan dalam kehidupan kalian akan meninggalkan kesan yang akan membentuk masa depan kalian. Jadi, kalian perlu sedar dan peka serta berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil kalian.



ingatlah.....doa mak akan sentiasa bersama kalian.