Friday, July 30, 2010

ANAK-ANAK MERDEKA..........



Anak-anak merdeka ini
Sebenarnya......
Masih belum benar-benar merdeka
Kerana jika benar merdekanya mereka
Sepatutnya mereka mesti faham
Apa merdeka itu sebenarnya........!


Merdekakah kita........?
Sedangkan belanar anak-anak kita
Melepak mengisi bosan di kamar pusat beli-belah
Di penjuru arked mainan video berusrah
Dan 'berqiamullail' di neon disko
Tatkala malam menjengah


Tidak semestinya merdeka.......
Bermakna kita bebas mendakap budaya barat
Meminggirkan akidah....memesongkan ibadat
Berkelamin tanpa akad.......tanpa nikah berzuriat
Lantaran takut malu menjerat
Antara kita tergamak membunuh dengan niat
Menambah dosa yang tidak terhambat


Sebenarnya merdeka kita......
Hasil gemilang warga terbilang
Antara juang.......mengusir pendatang
Antara kecundang........menyingkir petualang
Untuk generasi mendatang terus bergalang
Menjaga negara sebidang agar tidak kan hilang
Biarpun cuma sekangkang......!


Faham anak-anak sekarang
Kemerdekaan ini bagai hadiah terhidang
Tak perlu ditatang apatah lagi digawang
Konon sejarah silam tidakkan berulang
Jadi...untuk apa merasa walang
Pejuang yang kecundang tidakkan pulang
Warisan yang hilang biarkanlah hilang.....!


Bagi generasi sekarang....
Merdeka bermakna bebas
Merdeka bererti lepas
Merdeka........! laung yang remaja
Merdeka........! jerit yang muda
Merdeka........! sorak yang belia
Merdeka pada mereka.......hanya satu perayaan ulung
Merdeka pada mereka.......cuma satu sambutan agung
Merdeka pada mereka.......dapat sehari cuti umum.....!





arief maher
subang jaya