Thursday, December 30, 2010

......merungkai persoalan?


menjengah beranda hatimu
mencari ruang buat rinduku bersimpuh
di lantai kenangan yang mereput
menanti luhur senyummu menggigit duka
menunggu hulur tanganmu menyambut sebu
merungkai bermusim persoalan
pada kisah yang diakhirkan tanpa noktah.


kelibatmu tiada getar perasaan
masih tetap kaku tanpa beralasan
dan emosiku kembali goyah
luka lamaku turut berdarah.....!

 

 


-arief maher-
11.47pm
30hb. Disember 2010

Saturday, December 18, 2010

.....hijrah



menyusul hijrah
bekalnya cuma
kudrat yang sekadar
mendaki harap
bersama impi kabur
mencari sinar
di puncak perubahan.....!


arief maher
14hb disember 2010
12.35am

Saturday, December 11, 2010

.....pasrah


tegak di paksi sabar
menebar pasrah
agar tidak goyah
dan jangan sampai gugur
di medan amarah.....!!



~arief maher~
11hb disember 2010
2.37pm

Tuesday, November 30, 2010

.......MENGULANGI PERTEMUAN.

seakan terpaku
detik waktu
kala menunggu
melerai rindu
di lorong temu
berkerikil sendu
aspalnya syahdu.


sejalur ragu
memelangi kalbu
menitip haru
antara celaru
pahitnya hempedu
ternyata palsu
manisnya madu......!




~arief maher~
30 Nov 2010






Tuesday, November 16, 2010

....CEK MEK MOLEK LABU.




favourite suami sebetulnya....mungkin sebab ada gene kelantan dalam darah dia kutt....hehehehe. Selalu buat guna keledek tapi kali ni...guna labu, memandangkan labu yang beli minggu lepas belum digunapakai lagi. Dok terkedang kat dalam peti ais tu....sedikit sebanyak 'menyemakkan' mata jugak bila dah seminggu dok menengok benda ni kat dalam tu.

Untuk info....kuih cek mek molek ni lebih kurang macam kuih keria laa cuma bezanya....kuih cek mek molek ni, gula diletakkan dalam doh...ditutup dan dilonjongkan, kemudian digoreng. Dalam gambar ni pun....ada sebiji yang sengaja 'dibelah' dua. Nampak tak....gula cair yang kelihatan di tengah-tengah kuih ni. Sedangkan kuih keria pula....dibentuk seperti gegelang dan digoreng, kemudian disira dengan gula.



 


Bahan-bahan : 

labu @ keledek - direbus dan dilecek
tepung gandum - anggaran ikut lembut dan doh tidak melekat pada tangan.
gula
minyak untuk menggoreng
 

Satukan labu @ keledek yang sudah dilecek dengan tepung gandum...gaul2kan ikut kadar lembut doh @ sehingga doh tidak melekat di tangan.
Ambil adunan...saiz bebola tu agak2 seperti nak buat kuih cucoq badak....masukkan gula anggaran 2 sudu teh....tutupkan sepertimana cucoq badak dan kendian dilonjongkan atau dibujurkan. Goreng sehingga masak.....

Wednesday, November 10, 2010

M. Nasir - Falsafah Cinta, feat. Rahim Maarof


perkembangan muzik semasa tanahair.....?? entah...! lama dah tak ikut segala rancangan tv yang berkaitan dengan muzik ni....makan puluh tahun laa jugak kutt rasanya. aku sendiri pun tak ingat bila tahun terakhir aku dok cokoh depan tv menikmati rancangan yang berkaitan dengan muzik dan nyanyian ni. waktu negara dilanda demam 'akademi fantasia'.....aku pulak dilanda kehairanan dan tertanya-tanya, tang mana yang seronok sangat program tu....? lengang segala Tesco....Mydin sebab ramai yang tak nak keluar rumah dengan alasan takut ketinggalan. mujoq aku, suami dan anak-anak tak dijangkiti demam tu.....hehehehe. 

mungkin jugak...aku ni tergolong dalam golongan yang  payah nak terima pembaharuan. masih dok rasa bangga dengan penyanyi dan muzik era 80an.....tapi betoi apaa! memang muzik tanahair zaman tu cukup meriah....dengan penyanyi nya...lagu-lagunya....kumpulan rocknya.....memang best! kalau tak best....takkan laa lagu-lagu di zaman tu diberikan nafas baru (konon-kononnya ler.....padahal sekarang ni, kebanyakan komposer dah takde idea yang sebetulnya).

80an......lima tahun pertama, aku berada di sekolah menengah. '81...srp. '83...spm. '85....stpm. lima tahun terakhir, aku habiskan di ipta. waktu tu...berapa kerat jer penyanyi solo dan kumpulan rock yang ada dalam list 'minat' aku. seingat-ingat aku....penyanyi solo yang berjaya berada dalam list aku....hanya 3 orang! 3 orang jerr.....!???? yuppp.....3 orang jer. M Nasir....Sudirman dan Ramlah Ram. dan kumpulan rock pulak.....uissh, banyak jugakkk. mmmm.....aku ni berjiwa rock ker...? andai aku dalam pemerhatian sesiapa pada waktu tu... memang di luar jangkauan akal yang aku ni seorang minah rock. tak terpamer langsung-langsung sama ada dari segi pemakaian...jauh sekali tingkah laku! memang pingitan habis-habisan aku ni....! aku paling minat dengan Wings...! lain-lain kumpulan yang tersenarai....Lefthanded. May. Bloodshed. BPR. Loving Born....waktu tu, Aris Ariwatan penyanyi kumpulan ni. lagi satu.....Alleycats! kenape....?? terasa sesuatu yang pelik ker....??? memang pelik sebab aku langsung-langsung tak minat dengan Search...! padahal....sikit punya gah ker diaorang waktu tu. maaf....memang aku tak minat dan tak suka cara nyanyi yang lebih ke hala terjerit-jerit. 

M Nasir...? entah....ada sesuatu tentang dia dan lagu-lagu dia....dari segi lirik dan irama. kumpulan Wings pada waktu tu....naik dengan lagu-lagu dari ciptaan M Nasir. masa tu....baik M Nasir mahupun Wings....lirik-lirik lagu diaorang banyak yang berunsurkan kemanusiaan....pasal sejagat....pasal masyarakat....pasal ketuhanan. takder lirik-lirik yang melankolik....jiwang-jiwang tangkap lentok...tangkap leleh....tangkap nangis....tangkap basah dan macam-macam tangkap lagi. era tu...cetak rompak berleluasa. mana-mana tempat pun ada. tapi...sebab kerana minat punya pasal.....kaset diaorang, aku beli yang original lagiii! hehehehehe. dan dengan radio double kaset brand Toshiba, kaler merah lagiii...pemberian pak tam ku....lagu-lagu M Nasir...Wings...BPR.....jadi peneman, di saat rehatku selepas puas menelaah. jadi pengisi ruang sepi dan rindu aku pada keluarga di waktu itu. kadang-kadang...diselingankan dengan irama hindustan dendangan Mohd Rafi.....yang sekali-sekala menjadi bahan kutukan oleh rakan-rakan sebilik yang lain.

mungkin jugak....dek kerana kagum dengan puitisnya lirik-lirik lagu M Nasir dan Wings....sedikit sebanyak menyumbangtambahkan lagi minat aku dengan puisi padahal aku bukan pelajar sastera. aku cuma minat dengan bahasa....sampai sekarang dan sampai bila-bila...! 

 

Friday, November 5, 2010

......MUHASABAH.


kala disapa musibah
tsunami yang menerjah
panas merapi yang merekah
deras alirnya limpahan bah
segera bentangkan tabah
menutup renggang gundah
kusam lantai keluh kesah
lantas hidangkan pasrah
lengkap manisnya zikrullah
memenuhi serambi muhasabah......




-arief maher-
5hb. November 2010
4.28am

Thursday, November 4, 2010

IMPI..............

 

 

mimpi sejambak
ranjang semerbak
ingin memuncak 

lena memerdak
namun...,
terganggu nyenyak
lelap tersentak
angan berselerak
kesal meradak
cita terhenyak....!




arief maher

4hb. November 2010

3.30am.

 

 

 

Tuesday, November 2, 2010

BUNTU..........!



kebelakangan ni....betul2 out of mood, dan secara tak langsung....dry out of idea! aaarggghhhhhhh......! blog pun dah lama tak update. idea masak memasak memang banyak....sebabnya, aktiviti wajibku setiap hari. bagi memenuhi selera suami dan anak-anak. cuma...akan terganggu andai tiba masa2 'kekeringan', buka jer peti ais.......kosong dengan bahan2 basah. yang ada pun...bahan2 kering. gelama kering....terubok kering....talang kering....mmmmmmm. buntu....! melangut kat depan freezer tu...memandang kosong sambil2 mencari idea yang kebetulannya memang kosong...sekosong peti ais ku itu. mujoq laa peti ais tu tak ler besar mana pun. buatnya peti ais yang dua pintu bersebelahan tu....memang sah2 ler NAMPAK kekosongan tu. silap2...untuk mengisi kekosongan tu, entah2 aku yang masuk dok kat dalam tu. sejukkk...lagipun. hehehehe. 


telorr.......! ader....tapiiiii, rasanya seminggu ni dah bermacam2 menu telor yang disajikan buat anak2 dan suami. tidak pulak merungut malahan sedap jer memanjang diaorang ni.

sambal telor....? sudahhhh!
masak lemak telor....? putih...? kuning...? cili api....? pun sudahhhh!
kari telor....? mmmmm.....dah rasanyerr.
telor dadar...? telor mata lembu....? sweet sour...? masak kicap...? sudahhh....!
kurma telor....? japp......mmmm, kurma........hehehehehe. yessssss....! belum lagi.....
nampak gayanya.....kurma telor ler jawabnya menu untuk hari ini.

pun...aku bersyukur ke hadrat ALLAH...kerana masih dikurniakan rezeki biarpun tidak semewah orang lain. masih makan dan minum andai dibandingkan dengan mereka yang langsung2 tidak punya apa2 untuk mengalas perut. bersyukur...kerana punya anak2 yang tidak banyak merungut tentang pola pemakanan mereka yang tidak semenggah mana. cukup sekadar sejenis lauk dan sejenis sayur sebagai hidangan harian. juga cukup berpuashati dengan nasi goreng 'bodo'.....yang rencahnya hanya setakat bawang putih + bawang merah + cili api + telor yang dipecahkan masuk ke dalam gorengan nasi. juga...kadang2 cukup sekadar jemput2 @ coqkodok bawang semata2 untuk hidangan minum petang.


kala ada promosi dari pasaraya, dapat laa makan ikan siakap atau ikan bawal sebagai hidangan....sama ada di 'steam' @ di 'sweetsour'......itu sudah cukup mewah bagi anak-anak. juga sudah cukup mewah buat aku dan suami......
jenahak....? merah...? kerapu...? senangin....? memang tak pernah ada dalam 'shopping list'...! apatah lagi nak ditempatkan di dalam ruang freezer yang selalunya menjadi tempat mastautin tetap bagi kembong....yang kadangkala ditemani cencaru...selayang....kerisi.... mabong....tongkol. sekali sekala....menjengah jugak udang, bertamu untuk semalam dua. begitu juga dengan ayam.....kekadang munculnya, dalam seminggu...ada ler sekali. tak pun....sekali dalam masa dua minggu. ketam....???? jangan harap ler nak jengah......sekali dalam jangkamasa 6 bulan pun, belum tentu....! hahahahahaha...

arggghhhh....! dok megheyben apa laa pulak aku ni...? hehehehehe....membayangkan betapa kosongnya ruang idea kebelakangan ini. entah bila akan pulangnya idea....memenuhi ruang, yang kian hambar....! 

sehambar hati.....


Sunday, October 24, 2010

ada.................

ada kanak-kanak, masa depannya terbiar
ada warga, hujung usianya terlantar
ada tetangga, kosong perutnya berlapar
ada teman, cerita cintanya terkapar
ada kariah, tuju hidupnya tersasar
ada saudara, hati kecilnya terbakar
ada ikatan, tali hubungnya terbubar
ada perasaan, jiwa nuraninya hambar
ada keluarga, tawa mesranya tercalar
ada harta, berkatnya sifar
ada ilmu, tidak diamal tunjukajar
ada sedekah, luhur ikhlasnya samar
.
.
.
aku....??
masih terkapai di lorong sabar
menanti sinar qada dan qadar!



arief maher
24hb Okt 2010
2.15am





















Friday, October 22, 2010

......salahkah bila aku cemburu....?



salahkah bila aku cemburu...?
bila sesekali ia datang bertamu
di ceruk hati ia berteleku
tekun menaburkan benih ragu
ditokok renjisan curiga bertalu
mencambah prasangka menjalari kalbu
subur bagaikan dedalu
rendang mendahani pohon nafsu
menidakkan cabang ranting perilaku
antara layu kembangnya restu
antara gugur warasnya ilmu.


salahkah bila aku cemburu...?
sesekali datangnya menghidang pilu
sepinggan sayu secangkir sendu
cantik beralas dulang amarahku.......!



arief maher
22hb Oktober 2010
9:12pm



........ dihasilkan setelah diumpan secara tak langsung oleh iparku, Milawati Jamil....melalui status FBnya. terima kasih mila......!

Tuesday, October 12, 2010

......kembara diri.

 
bersama sabar
mencari redha
di sempit lorong qana'ah
pada hanyir kolong fuqara.

menaruh harap

bertemu taqarrub
pada sujud syukur
di sejadah tafakur.........!



-arief maher-
   5.50pm

Monday, October 11, 2010

RASA ........





telah lama ku empang
lautan rasa yang bertakung 
di kolam sabar dadaku.....

belum pun sempat
aksara dapat ku susun
menjadi bait-bait kata
buatku lontarkan ucap
empangan mataku
telah lebih dulu pecah
menenggelamkan suara hati
di muara sebak...!



arief maher
11.00pm
10-10-10

Saturday, October 9, 2010

ROTI KIRAI @ ROTI JALA........



Roti kirai.....??! Bila sebut saja roti kirai atau nama glamer seMalaysianya....roti jala, mesti semua dok terbayang rupanya yang...sama ada digulung macam bantal golek atau dilipat 4 jer.  Warna tradisi turun temurun...kuning dan sekali sekala akan terjumpa yang berwarna hijau. Mana tahu...tak lama lagi roti kirai @ roti jala ni akan ikut jejak langkah biskut tat nenas yang kini begitu bergaya sekali dengan warna ungu 'keblueberryan' tu....hahahaha.

Rata-rata orang sebelah utara pangge, roti kirai atau roti sorai...pasai rupanya macam kena carik dan sebab tu bila ada orang pakai baju yang jenis singlet cap pagoda yang koyak sana-sini, akan keluarlah bunyi-bunyi yang tak berapa sedap nak dengar...
"awatnya....?
takdak baju sangat dah kaa..?
yang pi pakai baju carik macam rupa roti kirai tu, pasai paa!"

Dulu-dulu, kalau nak buat roti kirai ni....mana ada acuan lagi waktu tu. Masa tu...guna daun pisang saja, gulung buat kelongsong kecik macam kelongsong kacang putih tu, dah tu..gunting sikit bahagian hujung untuk bancuhan tepung tu meleleh keluar. Bayangkan...jenuh nak memusingkan tangan nak bentukkan sekeping roti kirai dengan muncung yang hanya satu saja. Sekarang ni...dah mudah sebab ada acuan yang siap ada lima muncung, empat kali pusingkan tangan....dah jadi bentuk sekeping roti kirai.

Roti kirai ni...tak banyak guna bahan pun, mudah pulak tu. Kira-kiranya...takdak laa nak 'beradon' dan berenyah sangat. Cuma...kena berdiri lama saja laa untuk nak habiskan 'mengirai' bancuhan tepung tu. Ada yang suka 'mengirai' dalam kuali leper yang 'achi' selalu dok guna untuk buat cappati tu. Dah tu sekarang ni...macam-macam jenis kuali ada, pilih saja yang mana sesuai ikut kesukaan dan kemampuan kita. Apa-apa pun....aku mesti nak kena guna belanga jugak untuk nak 'mengirai' roti tu. Tak puas kalau guna kuali leper.....memang sah-sah laa, aku ni kekampungan abih....! Tak ikut peredaran zaman langsung....!

Satu lagi...orang selalu dok kata, yang membantutkan niat nak buat roti kirai ni...sebab, bancuhan tu asyik melekat kat belanga/kuali. Mula-mula dulupun...aku alami masalah yang sama juga tapi aku dah dapat petua untuk atasi masalah ni.  
Petuanya: campurkan sedikit minyak masak ke dalam bancuhan tepung tu....insya'ALLAH, masalah tepung melekat kat belanga/kuali akan tidak ' menghantui' anda lagi......hahahahaha.

Sedap dicicah dengan apa roti kirai ni....? Hmmm....mestilah dengan kari, sama ada kari ayam atau kari daging yang berkentang yang agak2 likat kuah karinya....fuhhh! Kurang-kurang, 10 biji 'bantal golek' pun...belum tentu cukup. 

Yang jadi kemusykilan sampai laa ni....macamana title 'roti' boleh lekat pada juadah tradisional ni.......walhal kalau kita tengok pada rupa bentuknya, takde langsung rupa roti....



ROTI KIRAI @ ROTI JALA

Bahan-Bahannya:-
  • 2 cawan tepung gandum
  • 4 camca besar santan atau susu cair - *optional, nak letak boleh...taknak letak pun boleh. Gantikan dengan 1 biji telur.
  • 1/3 camca teh garam
  • 2 1/2 cawan air
  • 2 camca besar minyak masak
  • Sedikit kunyit @ pewarna kuning - aku suka guna kunyit.
  • Minyak untuk menggris kuali

Cara membuatnya:-
  1. Satukan semua bahan2 di atas, kacau @ masukkan semuanya ke dalam 'blender' dan blend hingga sebati. Tapis adunan dan ketepikan.  Jika adunan kelihatan pekat, tambah sedikit lagi air.
  2. Dalam kuali leper (frying pan) @ belanga, lenser sedikit minyak dan biarkan agak panas. Pastikan api dapur tidak terlalu kuat. Ceduk adunan tadi ke dalam acuan roti jala dan kirai secara pusingan ke dalam kuali. Pastikan jaringan terbentuk bersambung antara satu sama lain.
  3. Bila dah masak, lipat dua menggunakan sudip dan alihkan ke pinggan, lipat @ gulung ikut kesukaan kita. Ulangi proses hingga habis. Hidangkan bersama kuah kari ayam/daging atau dalca.




...ini laa contoh rupa kelonsong yang dijadikan acuan roti kirai bagi orang dulu-dulu
...roti kirai dalam belanga.

...yang dah siap digulung.
...dihidangkan dengan kari ayam/daging.



KARI AYAM/DAGING

Bahan-bahan:

sekoq ayam/sekilo daging - potong kecik2
1 paket serbuk kari ayam + 1 camca cili serbuk, untuk nak 'kaww2'kan lagi.
sedikit ayaq
**campoq kesemua sekali...gaul rata dan ketepikan dulu.
bawang besaq/merah
bawang putih
halia
**dimayang halussss.....blend pun boleh.
rempah 4 sekawan
ubi kentang - dadukan sesedap mata memandang
santan
minyak
kerisik

Cara nak buatnya:
Panaskan minyak...tumis bahan-bahan yang dah dimayang + rempah 4 sekawan. Agak-agak bawang dah kuning...masukkan campuran ayam/rempah kari. Kacau sebati. Masukkan pula kentang + santan + kerisik. Renehkan hingga ayam dan kentang empok. Perasakan garam dan asam...sesedap mulut.

Tuesday, August 24, 2010

...........



merenung ke awan
mencari jitu jawapan
pada perdu persoalan
yang hilang tujuan
yang tersasar pedoman.....



arief maher
3.10pm
23hb Ogos 2010

.....menyapa rasa.



dengan aksara...
tanpa suara...
dia menyapa...
menguis lara...
menampi dura..
antara rasa.

berkisar cerita...
ehwal semasa..
tentang kerja...
perihal keluarga...
anak berapa..
pria dan dara..
berkenaan dia..
di hati bertakhta.

tanpa cuba...
memutar masa..
mengenang seketika..
detik bercinta..
berbunga asmara..
memori duka..
jodoh tiada.
.
.
.
usai bicara...
rindu pun sirna..
bersama maya.



arief maher
12.55am
24 Ogos 2010

Sunday, August 22, 2010

.....CUCUR @ CUCOQ BADAK.

Mmmm......rasa macam dah lama tak buat dan tak makan kuih cucoq badak ni. Tiba-tiba rasa teringin laa pulak memandangkan ubi keledek pun dah ada. Niat asalnya nak jadikan keledek tu....kuih keria untuk anak-anak. Mujoq laa dapat anak-anak yang jenis tak kesah dan tak cerewet mak depa masak apa-apa pun.....lagi pun, kuih coq badak ni....antara yang menjadi kegemaran depa jugakk.


                                               siap digoreng....tunggu untuk di 'ngap'......



                                               cucoq badak yang belom digoreng......



Untuk doh :

keledek - rebus dan lenyek
tepung gandum
sedikit garam
minyak masak - untuk menggoreng



Kecuali minyak masak, gaul rata semua bahan untuk membentuk doh. Kalau rasa doh tu lembik dan masih dok melekat kat tangan.....tambah laa tepung sedikit demi sedikit tapi jangan sampai terlajak tepung pulakkk. Tak pasal2 nanti....keras jadinya cucoq badak tu bila digoreng nanti.

Ambil sedikit doh dan bentukkan bulat....agak-agak lerr sama ada nak sebesar bola golf.....bola pingpong @ bola tennis. Leperkan dan isikan inti di tengah-tengahnya....tutupkan dan bulatkan kembali doh.

Sementara itu panaskan minyak di dalam kuali.
Goreng doh yang telah diisi inti sehingga keemasan. 
Angkat dan tos.
Sedia untuk dihidangkan.




inti cucoq badak......


Untuk inti:

½ biji kelapa parut 

100 gram udang kering - ikut kadar kepedasan anda....rendam dan kisar
1 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
7 tangkai lada merah
1 cm halia
1 batang serai

 
--------kisarkan semuanya. Terpulang pada anda sama ada nak guna batu penggiling @ blender.

1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu makan gula
½ sudu teh garam
2 sudu makan minyak masak

Cara nak buat inti:

Panaskan minyak. Masukkan semua bahan yang telah dikisar.
Masukkan kelapa. Kacau rata. Masukkan garam n gula. Kacau2 selalu. 

Bila inti dah agak2 kering...... tutup api dan ketepikan.










Wednesday, August 4, 2010

.....perlu apa.



perlu apa kecewa dan patah hati
kerana dunia masih luas menanti
pun masih menarik untuk diterokai
sarat kisah kehidupan dengan makna tersendiri
yang telah ditentukanNYA buat kita akan warna-warni
yang adil padaNYA buat kita melakar kanvas perjalanan diri
antara potret dugaan yang hakiki
antara lanskap redha yang abadi....


perlu apa meletihkan diri
setakat menghuraikan kekusutan di hati
sekadar menampilkan kelebihan peribadi
pada telinga yang sekian lama tuli
pada mata yang tiada keupayaan jauhari
ikhlas hanya padaNYA yang Mengetahui
hikmah hanya padaNYA yang Memliki


biarkan airmata tawakkal membasahi pipi
biarkan senyuman taqarrub merias diri
kerana akan tiba masanya....
hidupmu akan sentiasa dirahmati
sampai saatnya...
hidupmu akan sentiasa diberkati........!



arief maher
4hb ogos 2010
4.20pm



---> buat seorang rakan....ja MT

.....istimewanya WANITA.



* Doa wanita lebih makbul berbanding lelaki disebabkan sifat penyayang yang dimilikinya. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda: "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

* Wanita yang solehah itu lebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh.

* Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Dan orang yang takutkan Allah SWT akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

* Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW) di dalam syurga.

* Barangsiapa membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya) maka pahalanya seperti melakukan amalan bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuannya daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuannya seolah-olah dia telah memerdekakan anak Nabi Ismail.

* Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.

* Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta sikap tanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

* Apabila memanggil akan dirimu dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.

* Daripada Aisyah r.a. "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."

* Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya, akan tertutuplah pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pun pintu syurga yang dikehendakinya dengan tidak dihisab.

* Wanita yang taat pada suaminya, maka semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga solat dan puasanya.

* Aisyah r.a. berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?" Jawab Rasulullah SAW, "Suaminya...." Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah SAW, "Ibunya...."

* Perempuan apabila sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta kepada suaminya...masuklah dia dari pintu syurga yang mana dikehendakinya.

* Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam syurga terlebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

* Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1000 kejahatan.

* Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

* Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

* Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberikan satu kebajikan.

* Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah SWT memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah SWT.

* Rasulullah SAW menjelaskan berapa istimewanya nasib wanita yang hamil jika dia meninggal dalam masa hamilnya, Allah SWT memberikan jaminan kepada yang bersangkutan mendapatkan syurga sebagaimana janji yang Allah SWT berikan kepada kaum lelaki yang mati syahid di medan perang untuk membela agama Allah. Kedudukan yang demikian tinggi bagi wanita yang meninggal saat melahirkan menunjukkan berapa besar harkat yang Allah SWT dan Rasul-NYA berikan kepada kaum wanita.



Alangkah bertuahnya kita yang dilahirkan dan bergelar wanita. Oleh itu....banyakkan bersyukur dan bersabar dalam menghadapi apa juga cabaran dan dugaan yang diberikanNYA dalam melayari kehidupan di dunia ini.

Saturday, July 31, 2010

BALASAN ALLAH......



Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a. menghadap Rasulullah s.a.w dan bertanya: " Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah.....' pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris ' - (surah an-Naba:18)
Mendengar pertanyaan itu, Baginda menangis sehingga basah pakaiannya. Lalu Baginda menjawab: " Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan diiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri.......

BARISAN PERTAMA....diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki.
" Mereka itu adalah orang-orang yang ketika hidupnya menyakiti hati jirannya, maka ini balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka....."

BARISAN KEDUA.....diiringi dari kubur berbentuk babi hutan.
" Mereka itu adalah orang yang ketika hidupnya meringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembalinya adalah neraka...."

BARISAN KETIGA....diiringi dari kubur berbentuk keldai, dan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.
" Mereka ini adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...."

BARISAN KEEMPAT...diiringi dari kubur dalam keadaan darah memancut-mancut seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.
" Mereka ini adalah orang yang berdusta di dalam jual beli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka...."

BARISAN KELIMA....diiringi dari kubur dalam keadaan berbau busuk daripada bangkai, ketika Allah menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.
" Mereka ini adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka...."

BARISAN KEENAM....diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.
" Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...."

BARISAN KETUJUH....diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dan dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah.
" Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka....."

BARISAN KELAPAN....diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.
" Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...."

BARISAN KESEMBILAN.....diiringi dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.
" Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara haram, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...."

BARISAN KESEPULUH....diiringi dari kubur mereka dalam keadaan kubur mereka penuh dengan sopak dan kusta.
" Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka....."

BARISAN KESEBELAS....diiringi dari kubur mereka dengan berkeadaan buta, gigi mereka panjang seperti tanduk lembu jantan. bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang hingga ke perut yang keluar darinya beraneka kotoran.
" Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka....."

BARISAN KEDUABELAS....diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka datanglah suara Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan:
" Mereka adalah orang yang berakal soleh dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, mereka meninggal dunia dalam keadaan mereka bertaubat...maka inilah balasannya dan tempat mereka kembali adalah syurga. Mereka mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih...."



Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah. Mudah-mudahan kita akan menjadi insan yang lebih sabar dan lebih diredhai Allah di kalangan hamba-hambaNYA.........amin.

Friday, July 30, 2010

ANAK-ANAK MERDEKA..........



Anak-anak merdeka ini
Sebenarnya......
Masih belum benar-benar merdeka
Kerana jika benar merdekanya mereka
Sepatutnya mereka mesti faham
Apa merdeka itu sebenarnya........!


Merdekakah kita........?
Sedangkan belanar anak-anak kita
Melepak mengisi bosan di kamar pusat beli-belah
Di penjuru arked mainan video berusrah
Dan 'berqiamullail' di neon disko
Tatkala malam menjengah


Tidak semestinya merdeka.......
Bermakna kita bebas mendakap budaya barat
Meminggirkan akidah....memesongkan ibadat
Berkelamin tanpa akad.......tanpa nikah berzuriat
Lantaran takut malu menjerat
Antara kita tergamak membunuh dengan niat
Menambah dosa yang tidak terhambat


Sebenarnya merdeka kita......
Hasil gemilang warga terbilang
Antara juang.......mengusir pendatang
Antara kecundang........menyingkir petualang
Untuk generasi mendatang terus bergalang
Menjaga negara sebidang agar tidak kan hilang
Biarpun cuma sekangkang......!


Faham anak-anak sekarang
Kemerdekaan ini bagai hadiah terhidang
Tak perlu ditatang apatah lagi digawang
Konon sejarah silam tidakkan berulang
Jadi...untuk apa merasa walang
Pejuang yang kecundang tidakkan pulang
Warisan yang hilang biarkanlah hilang.....!


Bagi generasi sekarang....
Merdeka bermakna bebas
Merdeka bererti lepas
Merdeka........! laung yang remaja
Merdeka........! jerit yang muda
Merdeka........! sorak yang belia
Merdeka pada mereka.......hanya satu perayaan ulung
Merdeka pada mereka.......cuma satu sambutan agung
Merdeka pada mereka.......dapat sehari cuti umum.....!





arief maher
subang jaya

Thursday, July 29, 2010

KAU.....bisikan hatiku.




diammu...
menenggelamkan aku
ke dasar resah.

sepimu...
menyesatkan aku
ke belantara gundah.

senyapmu...
melontarkan aku
ke gurun gelisah.


usahlah berdiam
bagiku, kau lautan ilham
dan...
janganlah menyepi
padaku, kau rimba inspirasi
juga...
hentikanlah senyapmu
kerana kau adalah oasis bisikan hatiku......!




arief maher
shah alam
29hb Julai 2010
2.55am

Sunday, July 25, 2010

.......sampai bila


sampai bila....
menaruh harap
pada kata-kata siang
yang belum pasti
menceria hati


sampai bila...
merebah diri
pada mimpi-mimpi malam
yang belum tentu
mencerna sendu


sampai bila....
membendung bicara
menongkah nestapa
menyongsong duka
pada tingkah helah arjuna
yang miskin setia
yang muflis cinta.......!



23rd july 2010
7.00pm



---> buat seorang rakan....pah suzie

Tuesday, July 13, 2010

malam kita......


Andai malammu terasa suram
Hatiku lebih lagi kelam
Biarpun purnama Muharram
Menyimbah terang di seluruh alam.

Andai malammu terasa pilu
Hatiku lebih lagi sendu
Biarpun mendesir bayu
Bersenandung girang di pelusuk kalbu.

Andai malammu terasa resah
Hatiku lebih lagi gundah
Biarpun bersimpuh tabah
Berseloka riang di beranda gelisah


Malam kita...
masih lagi suram....dek kenangan silam
masih lagi pilu....dek memori lalu
masih lagi resah...dek ingatan sudah
pada saat pertemuan...yang begitu bahagia
pada detik perpisahan...yang amat derita
lantaran....
sauh asmara itu tidak kita labuhkan
di dermaga kasih perkahwinan.......!





arief maher
shah alam.

merdu suara angklung cinta itu....suatu elegi.


i...

merdu suara angklung cinta itu
membayangkan aku pada rahsia yang tersembunyi
siapakah sebenarnya
yang berdiam antara kita?

ii....

merdu suara angklung cinta itu
pernah satu ketika menidurkan nestapa
berkisah dan berbicara tanpa suara...
gembiranya pula tanpa tertawa
sedih duka tiada airmata...
akhir diam tanpa kata...

sebalik rimbunan rindu
bergumpal seberkas sendu
masih gagahkah menghindar rasa
lalu..
relakanlah pagi berulang
bagi menoktah sebuah harapan
yang mungkin telahpun padam...


iii....

merdu suara angklung cinta itu
hingga kini getarnya meruntun atma
masih bermelodi membangkitkan nestapa
masih berkisah tapi pincang ceritanya ...
masih berbicara tapi sumbang suaranya
masih gembira tapi sumbing tawanya
berlarutan dura tiada tampak di durja
berakhir kata tanpa olahan aksara

bawah rimbunan rindu
aku masih berteduh berteleku
di perdu sendu mengusir hiba
di banir pilu menghambat hampa
kala.......
bunga janji layu meluruh
putik harapan gugur melayah

merdu suara angklung cinta itu
membayangkan aku pada rahsia yang tersembunyi
siapakah sebenarnya
yang berdiam antara kita?

pun...
aku masih diselubungi persoalan
biarpun hari depan itu telah cuba aku noktahkan......





arief maher
featuring....mazemie irza
june, 2010

.........hati.


saat engkau membisu...
aku kelemasan di dasar persoalan
antara cungap mencari nafas kebenaran
dari buih-buih percintaan yang bersisa
untukku hela buat kesekian kalinya
agar dapat aku harungi
lautan kenangan itu.........!



arief maher
shah alam

Monday, July 12, 2010

SYUKUR.......bukan aku




kala berat kau ungkapkan
selamat tinggal dari bibirmu
aku tahu....
hatimu sendiri tidak merelakan
malahan turut sama menangisi
juga turut sama terluka
betapa dalamnya hirisan perpisahan itu.

pun....
aku terima segalanya
ungkapku...usah disalahkan
pada perpisahan yang datang
tetapi kesali pada detik-detik itu
yang telah menemukan kita
pada suara yang tidak berwajah
pada kata-kata yang tiada bernoktah.


andai perpisahan dulu tidak menjadi nyata
kita berterusan memadu kasih
mencipta bahagia mencorak rumahtangga
bersama permata mencahayakan mahligai
mengharap kekal sinarnya hingga ke sumbu hayat.


hari ini....
aku akan lebih terluka
malahan mungkin juga akan terlebih parahnya
kala bertahun menyemai kasih
kala berpurnama menyubur cinta
rupanya setiamu tidak bersamaku
rupanya sayangmu tidak hanya untukku
katamu...pintu hatimu telah diketuk lagi
dan kau ingin membukanya dengan izinku
bagi membenarkan 'dia' bertamu
berteduh kasih di mahligai cintamu
yang dulunya hanya buatku
juga dulunya hanya buat zuriatmu
katamu lagi....
mahligai cintamu begitu luas
dan tak mungkin akan jadi begitu sempit
lautan sayangmu begitu dalam
dan tak mungkin akan jadi surut
lantaran kehadiran seorang 'dia'

.
.
.
syukur....
bukan aku di tempatnya disisimu......!




arief maher
12hb julai 2010
shah alam